Wednesday, 2 March 2016

SALAM PERKENALAN-MENGAPA SAYA MENULIS?



Assalam dan salam sejahtera

Sepatutnya inilah blog yang pertama yang saya kena tulis sebelum pergi kepada topik atau isi-isinya. Tetapi mungkin disebabkan terlalu teruja untuk berkongsi idea, saya terus menceritakan tentang topik yang berkaitan kepada pembaca sekalian.
Tak kenal, maka tak cinta, itu pepatah yang biasa kita dengar. Apa yang yang menyebabkan saya terpanggil untuk menulis blog ini kerana niat utama agar dapat berkongsi sedikit ilmu dan idea semoga ianya bermanfaat. Sedikit perkenalan dari saya, saya diberi nama Musyiri Bin Peet, telah berkeluarga.Alhamdulillah
Lulusan undang-undang UKM pada tahun 2000 dan memperoleh sarjana undang-undang dari universiti yang sama pada tahun 2003. Pada masa yang sama, saya tamat pengajian dalam Diploma Pentadbiran Kehakiman Guaman Islam, Fakulti Pengajian Islam dari universiti yang sama. Sebaik sahaja saya tamat belajar pada tahun 2000, saya mula beramal sebagai pengamal undang-undang (jadi lawyer lah senang cite hehehe) selepas tamat chambering. Pada tahun 2003,  mulai menyertai sektor awam sehingga sekarang.

Perlu saya tekankan disini, dalam blog ini saya akan menulis banyak berkenaan dengan perihal undang-undang, bukan bermakna saya bagus (mohon dijauhkan dari sifat riak dan ujub, nauzubillah). Ia hanya sekadar hal-hal asas dalam undang-undang yang mungkin kita terlepas pandang dalam kehidupan seharian. Gaya bahasa juga saya cuba sampaikan dalam keadaan paling santai dan mudah difahami kerana kadangkala istilah undang-undang adakalanya teknikal dan sukar untuk kebanyakan orang memahaminya. Tetapi perlu diingat,  anda pastinya masih memerlukan peguam jika disaman atau dibicarakan dalam banyak keadaan. Sentiasalah melakukan rujukan tambahan dan rujukan silang (cross-reference) apabila membaca tulisan blog saya.
Yang menjadi motivasi tambahan saya menulis adalah apabila anak sulung saya berjaya menyiapkan novel pertamanya seawal usianya sekitar 11 tahun dan sedang menunggu novel keduanya dilancarkan tahun ini. Insya-Allah.
Semoga satu hari nanti saya juga berjaya menghasilkan sebuah buku yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat umum kelak. Mudah-mudahan ianya boleh menjadi ilmu yang bermanfaat khasnya apabila saya tiada kelak, insya-Allah... Amin...

Selamat membaca!


No comments:

Post a Comment